Monday, May 23, 2011

Muzium Sultan Abu Bakar Pekan

Google map: 48 KM, 50minutes from MAHKOTA AMAN HOMESTAY.
Pekan, sebuah bandar tua yang mempunyai banyak kesan sejarahnya. Bandar ini juga dikenali sebagai Bandar Diraja pernah menjadi ibu negeri dan pusat pentadbiran negeri Pahang Darul Makmur.
Muzium Sultan Abu Bakar, merupakan sebuah bangunan lama yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Bangunan muzium ini pada asalnya merupakan bangunan kayu dua tingkat yang dibina oleh Inggeris pada tahun 1888, sebagai tempat kediaman Residen British Pertama di Pahang, J.P. Rodger. Pada tahun 1898, ibu negeri Pahang dipindahkan dari Pekan ke Kuala Lipis dan bangunan ini dijadikan tempat penginapan Residen-residen Inggeris yang datang menjalankan tugas-tugas rasminya di bandar Pekan. Pada tahun 1929, bangunan kayu ini digantikan dengan bangunan batu dua tingkat iaitu seperti yang terdapat sekarang ini. Ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu bangunan ini digunakan sebagai markas pegawai-pegawai tentera Jepun.
Dalam tahun 1948, bangunan ini telah diduduki oleh DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai menggantikan Istana Sri Terentang. Bangunan ini kemudiannya dikenali sebagai Istana Kota Beram yang menjadi tempat persemayaman baginda dan menjalankan upacara-upacara yang lain. Pada tahun 1954, lantaran kedudukan ruang-ruang di dalam istana yang agak terhad, kerajaan negeri telah membina bangunan tambahan untuk dijadikan balai yang dikenali dengan Balairung Seri.
Pada tahun 1970, YAB Perdana Menteri Tun Haji Abdul Razak dalam pertemuannya ketika itu dengan penduduk Pekan telah mengusulkan agar diwujudkan sebuah Muzium Pahang, bertujuan untuk mengumpul dan mempamerkan sejarah dan kebudayaan negeri Pahang. Lanjutan daripada itu pada tahun 1974, kerajaan negeri Pahang, telah mengkaji keperluan menubuhkan Muzium ini, satu Jawatankuasa Kerja telah dibentuk bagi mengubahsuai Istana Kota Beram kepada Muzium Negeri. Muzium ini kemudiaanya dinamakan sebagai Muzium Sultan Abu Bakar bersempena Istana yang pernah menjadi tempat persemayaman baginda.
Pada tahun 1975, satu Enakmen telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Negeri Pahang dan diwartakan oleh Kerajaan pada 14 Ogos 1975. Melalui enakmen ini Kerajaan negeri Pahang telah menubuhkan satu badan pentadbiran muzium yang dikenali sebagai Lembaga Muzium Negeri Pahang yang bertanggungjawab terhadap pengurusan Muzium ini. Pada 21 Oktober 1976, DYMM Sultan Haji Ahmad Shah, Sultan Pahang telah berkenan menyempurnakan pembukaan rasmi Muzium Sultan Abu Bakar. Semenjak daripada itu Muzium ini terus giat mengumpul dan mempamerkan kesan dan tinggalan sejarah serta kebudayaan tradisional negeri Pahang.

No comments:

Post a Comment